Friday, August 21, 2015

Cerpu (cerita merapu)test market jadi novelis..konon


Angin petang tepian pantai yang damai itu mengusap, membelai wajahnya yang sugul, mengeringkan air mata yang telah jatuh sekian kali itu. Hatinya dongkol, sesekali sebuah keluhan tipis terkeluar dari mulutnya. Perlahan-lahan air jernih mengalir lagi menuruni pipi yang telah cengkung benar. Disekanya dengan hujung baju kurung biru berbunga putih yang dipakai sejak pagi tadi. Di kejauhan terdengar sayup-sayup suara kanak-kanak riuh, mengutip siput di gigi air yang telah surut sejak awal kedatangannya tadi. Kanak-kanak yang masih hijau dan yang masih bersih hati dan otak yang masih lapang. Tiada satu masalah hinggap di kepala kecil mereka. Yang ada cuma bermain dan terus bermain. Alangkah seronoknya kalau lahir ke dunia hanya menjadi kanak-kanak tanpa perlu perubahan sebagai orang dewasa. Alangkah manisnya meniti alam indah sebagai kanak-kanak. Sedikit sebanyak rindunya pada Lisa di kota kelahirannya terubat, melihat gelagat riuh anak-anak tadi.

Fikirannya kembali ke alam nyata, otaknya kembali ligat berfikir dan hatinya kembali sayu bila teringatkan wajah manis Lisa. Bermain di matanya wajah tanpa dosa yang selalu meragut rindu di hati dan selalu mengisi kenangan sayunya. Anak kesayangannya yang tinggal bersama ibu jauh di kota kelahirannya. Rindu hampir saja memutuskan tangkai hatinya.

Apalah daya mama, nak..monolog hatinya. Jika boleh mama ingin memelukmu tiap saat, mencium wajah manismu saban waktu dan melayan kerenah manjamu. Tapi mama terpaksa melakukannya demi masa depan kita, terutama masa depanmu dan adik yang bakal lahir. Sepontan tangannya melurut jatuh ke perut yang membusung disebalik baju kurung yang bersaiz besar itu. Hatinya hiba lagi,perlahan diusapnya kandungan yang sudah mula menonjol itu.

Dia sendiri tidak tahu kenapa semua ini terjadi, apakah yang ingin Allah mahu ia pelajari dari takdir ini.Puas ia memerah kepalanya yang selalu kusut itu dengan persoalan ini, namun akhirnya ia akur, tidak mahu masuk campur akan urusan ini. Sebagai seorang Islam yang setiap kali sembahyang mengucapkan “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruhNya”, ia redha dengan ketentuan nasibnya kini. Hendak menyesal bukanlah pegangannya kerana tiada kematangan andainya diakhiri dengan penyesalan.

Ia sendiri tidak tahu dan sedar mengapa ia menerima lelaki itu dalam hidupnya, walaupun sebelum ini telah tekad hatinya untuk tidak menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya. Namun jodoh, ajal dan tanah kuburan adalah dalam kemaslahatan Allah jua. Ia tetap bersyukur menerima Kazman dalam hidupnya. Kini dia menjadi milik Kazman dunia dan di akhirat. Tempatnya adalah di sisi Kazman. Ia berkorban bertukar kerja ke daerah asing ini, meninggalkan bandar tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Kota kebanggaan yang menjanjikan seribu satu macam kesenangan kepada penduduknya. Ia sanggup bertukar kerja dan tempat tinggal semata-mata menurut kemahuan Kazman yang mahukan agar mereka sentiasa berdekatan. Walaupun lansung tidak pernah ia bercita-cita untuk berjauhan dari Lisa anaknya.

Lisa tentu tidak betah tinggal di pedalaman yang penuh agas dan nyamuk. Lisa tidak biasa dengan suasana sunyi semacam kubur. Lisa sudah terbiasa dikelilingi oleh keluarga terdekatnya. Lisa anak manja yang saban minggu mahukan McDonald, ayam goreng Kentucky, naik kuda mainan di taman hiburan dan menonton wayang kartun di KLCC. Lisa anak bandar yang akan menangis kesepian jika tinggal di pedalaman yang sunyi macam kawasan perkuburan ini. Malah Lisa pasti akan merengek untuk pulang semula ke kota kelahirannya.

Namun dia tidak boleh menjadi Lisa. Lisa kanak-kanak yang harus dilayan kehendaknya kerana otaknya masih belum dapat menerima tegahan dan kata-kata nasihat. Lisa tidak mahu mendengar selain dari kata hatinya. Lisa tidak mahu ambil tahu akan takdir yang tertimpa di pundak mamanya. Bagi Lisa, kemanisan zaman kanak-kanak harus dikecapi sebaik mungkin. Berbeza dengan dirinya yang harus memikirkan kehidupan dalam semua aspek bukan hanya berseronok seperti Lisa.

Ia tidak menyalahkan sesiapapun dalam hal ini, jauh sekali Lisa kerana dari awal perkahwinan Lisa telah melahirkan rasa kurang setujunya. Walaupun anak pintar itu tidak menggunakan kepintarannya berkata-kata, namun perlakuan Lisa telah cukup untuk membuktikan bahawa dia tidak mahu menerima kehadiran lelaki asing ke dalam mahligai bahagia yang diciptakan bersama Lisa. Dulunya ia amat bahagia dengan Lisa, walaupun di mata orang lain, mahligai itu kurang sempurna tanpa kehadiran lelaki, namun ia masih mampu mengundang hilai ketawanya berbaur dengan keletah manja Lisa. Tapi kini mahligai yang lengkap ini cuma selalu mengundang duka ke dalam hatinya. Hanya tangisan senyap dari dalam sudut hatinya yang selalu tersentuh sahaja mengisi ruang mahligai lengkap tadi.

Kazman, hadir dalam hidupnya entah dari mana. Tahu-tahu sahaja dia telah menjadi isteri kepada lelaki yang telah menjadi bapa kepada tiga anak itu. Entah dari mana datang kekuatannya menerima Kazman dalam hidupnya. Kazman lelaki yang baik, walaupun telah beristeri namun ia tidak pernah berahsia. Ia mengaku telah mempunyai tiga anak lelaki yang mula menginjak dewasa. Namun dia masih menerima pelawaan Kazman untuk menjadi suri rumah tangga. Entah apalah yang merasuk jiwanya saat menerima lamaran itu, ia tidak terfikir lansung kebarangkalian yang akan berlaku seperti sekarang ini. Ia lansung tidak memikirkan perasaan Emi, isteri Kazman, jauh sekali perasaan Halim, Arif dan Amin anak-anak Kazman. Ia seperti mabuk kepayang, asyik masyuk dengan cinta lelaki itu hingga lupa dunia yang sedang memerhatikannya dengan penuh perasaan benci dan mengutuknya terus-terusan.

Perkahwinan berlansung  secara rahsia tanpa pengetahuan isteri malang itu. Kazman mempunyai ramai teman yang berpengaruh, lantas urusan pernikahan mereka menjadi mudah tanpa perlu mendapat persetujuan dari isteri pertama. Segalanya berjalan lancar, malahan ia mendapat sokongan padu dari satu-satunya saudara kandung Kazman dan ibu mertuanya yang amat gembira dengan penyatuan mereka itu. Emi lansung tidak menyedari bahawa ia secara sulit telah berkongsi suami dengan wanita yang tidak pernah terbayang dalam ingatannya akan hadir mengeruhkan kejernihan rumah tangga mereka sebelum ini.

Bagi pihak keluarganya pula, ia juga tidak menyangka akan mendapat sambutan yang tidak mengecewakan. Agak hairan juga, kakak-kakaknya tidak menentang dan abang-abang juga diam seakan bersetuju dengan keputusannya mengahwini suami orang itu. Masing-masing mengambil peranan berdiam diri dan membiarkan dia membuat keputusan tanpa tegahan. Yang paling menakjubkan ialah ibunya yang seakan bersyukur dengan kehadiran Kazman yang pada mata mereka agak bersesuaian menjadi suaminya. Entah sesuai dari segi mana, ia sendiri kurang pasti.

Sebelum perkahwinan mereka berlansung,bercupak janjinya pada Kazman bahawa ia akan sabar dengan situasi Kazman. Dia tidak akan meminta hak digiliri sebagai isteri kedua kepada Kazman, kerana menghormati hasrat suaminya. Kazman mahu perkahwinan mereka dirahsiakan buat sementara waktu sehingga madunya dapat menerima hakikat yang ia telah berkongsi suami. Suaminya amat memahami perangai Emi yang kuat cemburu, dikhuatiri Emi akan mengambil keputusan meninggalkan anak-anak lantaran hatinya disakiti, gara-gara tidak sanggup dimadu. Ia memberontak, mustahil seorang ibu tergamak meninggalkan anak-anaknya hanya semata-mata kerana marahkan suami menduakannya. Tetapi Kazman lebih faham perangai isterinya. Memang mulanya ia menganggap itu sesuatu yang agak mudah dan mampu dilaksanakan. Atas dasar itu jugalah akhirnya rumahtangga mereka terbina.

Tapi itu adalah janji dahulu, janji kini hanya tinggal janji. Kini, barulah dia merasakan peritnya untuk menepati janji yang suatu ketika dianggapnya amat mudah. Kelat lidahnya menelan janji-janji yang pernah cuba mahu dikotakannya. Kini saban hari, air mata membasuh janji-janji itu. Ia tidak sanggup lagi memikul bebanan janji yang semakin hari semakin terladung di atas pundak kepalanya. Namun ke mana ia harus lari dari perjanjian jahanam itu. Siapa yang dapat menghuraikan kekusutan. Inilah yang menghantui jiwanya kini. Ia merasa malu pada Kazman, bimbang disalah tafsir. Lagi pula, janji tetap janji, jika kerbau dipegang pada tali, manusia pula dipegang pada janjinya. Orang yang memungkiri janji itu adalah munafik. Nauzubillah! Dijauhkan Allah dari menjadi munafik.

Apa pula anggapan Kazman nanti kalau luahan hatinya ini disuarakan. Kazman tentu menganggapnya sebagai manusia yang cuma pandai berjanji tapi tidak mampu menepatinya. Tidak!. Dia teramat hormat dan kasihkan Kazman dan tidak mahu suaminya beranggapan negatif terhadapnya. Sebelum kahwin bukan kepalang pandai berjanji, tetapi kemudiannya pandai pulak memungkirinya. Janganlah hendaknya ia ditempelak sebegitu oleh suami tersayang.

Namun sampai manakah ia mampu menahan, sampai manakah dia terdaya memikul beban janji yang lama-kelamaan menjadi kuman barah mengunyah lumat tangkai hatinya. Janji yang siang malam memerah air matanya. Kini dia benar-benar terhimpit dan merasa kehilangan bila Kazman pulang ke pangkuan isteri tuanya. Bagaimanakah caranya untuk menembusi selaput sepi yang kian membelenggu jiwanya.

No comments:

Post a Comment