Wednesday, July 14, 2010

Hari yg ditunggu dah tiba..
Sebelum subuh suami bangun dan minta diri..petang nanti abang datang..janjinya..!
Pukul 8am, breakfast aku minta menu, makan porridge dan Dr Intan melawat aku.Aku diminta puasa lepas lunch dan aku akan diusung ke OT lepas sembahyang Maghrib. Hati aku sedih sebab suami tidak dibenarkan masuk bersama sebab aku jua akan menjalani pembedahan pembetulan salur ovari sekali gus terpaksa mengikatnya kerana bahaya jika aku terus mengandung.
Cukuplah empat anakku walaupun aku mahukan lebih dari itu. Allah lebih mengetahui. Aku isikan masa menunggu dgn menalipon rumah dan sekali lagi airmata aku tumpah mendengar suara anak2.Aku pesankan pada emak, tidak perlu melawatku,kerana aku amat arif dgn perangai Sarah yg akan menangis tak mahu berpisah dgn aku, sebab itu aku ke hospital setelah dia tidur.Jangan bimbang..aku dihospital swasta, apa saja kehendakku akan dilayan oleh jururawat yg kebanyakannya sudah kenal mesra dgn aku kerana tahun 2001,2002 dan kini 2004 aku menjadi pelanggan tetap mereka.
Ku habiskan waktu dgn membaca surah2 yang selama mengandung aku amalkan, Surah Yaasin untuk dapatkan anak yang waraq, Surah Yusuf untuk dapatkan anak yang baik dan goodlooking, ,Surah Luqman untuk dapatkan anak yg soleh dan surah Maryam untuk mudahkan bersalin. Dibantu oleh Surah Taubah.Zikir yg diajar oleh suamiku subuh tadi kuulang banyak kali.Setiap kali juga mataku kabur menatap ayat suci Allah.
Menjelang senja suamiku sampai,hampir pukul 4pm datang seorang jururawat senior India yg lemah lembut membersihkan perutku dari bulu2 roma yg akan menganggu pembedahan, hatiku sedikit tenang dgn keramahannya.
Bila azan maghrib berkumandang, suamiku melangkah keluar menuju masjid berhampiran, pilunya hatiku..Begitulah suamiku, yg kurasa tiada perasaan namun aku tahu, di dalam jernih pancaran matanya, dia mendoakan aku..dia ke masjid dan dari sana tidak putus mendoakan keselamatan aku selama aku dalam bilek pembedahan.
Tepat pukul 8pm dua orang jururawat datang meminta aku menukar pakaian utk ke OT..Aku terus diusung dan bila pintu OT hampir ditutup, kakak yg paling rapat dgn aku muncul.Dia mencium dahiku dan minta aku banyak berselawat dan beristighafar. Terasa aku bagai menanti hukuman gantung sahaja.
Dalam OT, suasana sangat sejuk mengigit tulang dan suasana nyaman kebiruan, namun gagal menghilangkan debaran jantungku, pakar bius beramah mesra dgn ku, seorang doktor wanita yg cantik, semasa melahirkan Tita dan Sarah aku dibius oleh doktor Punjabi. Aku minta epidural separuh badan yg akan membolehkan aku mendengar tangisan pertama anakku sama seperti kelahiran kedua kakaknya.
Aku diminta duduk berlunjur dan membongkok sedikit supaya tulang belakangku lebih nampak ketara. Sakit belakangku disuntik dua kali oleh jarum yg mak datuk, besarnya. Aduh..tiba2 saja aku rasa kakiku kebas, tak dapat diangkat, ubat bius pantas berjalan dan aku telah sedia terbaring. Setelah hampir 15 minit menunggu barulah muncul Dr Intan yg jelita dgn salamnya menyapa aku sambil meminta maaf terlambat lima minit. Nasib baik aku nih nak beranak,kalu aku nih sakit jantung 5 minit tu tentu aku dah KO.
Hati aku terus bergelodak bimbang dgn berbagai kemungkinan tambahan dgn mimpi2 yg kurang menyenangkan sejak akhir2 ini namun siapalah yang dapat membantu aku saat ini, kecuali Allah Alaziz. Mulutku terus membaca zikir ajaran suamiku. Perutku terasa sejuk bila disapu sejenis cecair. Mukaku di lindung oleh kain bewarna hijau tua oleh seorang staff nurse bangsa Serani yg sangat peramah, bertanya itu dan ini sambil menepuk2 tangan kananku. Kemudian aku terasa dibawah pusatku ditujah sesuatu dgn benda kecil tajam namun aku tak terasa sakit. Aku tahu pembedahan sudah bermula bila terdengar ucapan Bismillah dari mulut Dr Intan
Tidak sampai lima minit aku terdengar suatu suara yg paling merdu didunia..tangisan yg aku nantikan selama ini, suara garau anaku memecah keheningan OT.Aku toleh jam didinding, tepat pukul 8:26 pm 8.8.2004, lahirlah anakku. Serentak itu segala duka ku hilang, lapang dadaku mendengar suara yg sihat dan airmataku mengalir keluar.Airmata seorang ibu. Nurse Serani itu mengambil bayiku dan dalam tubuh yg masih bersalut cairan kelahiran tuh, anakku disuakan kewajahku. Kukucup mulutnya yg terbuka luas menangis.
“Sempurnakah anakku?” itu ucapan pertama. Dan dia angguk.lalu dia membawa anak itu untuk dibersihkan. Setelah itu barulah aku teringat menanyakan lelaki atau perempuan.
Bila dia mengadapku semula aku bertanya.
“Nurse..anak I boy or girl?”
“You nak anak apa?”
“Boy!”
“Yes..you get what you hoping for?”
Serentak itu kupanjatkan syukur kehadrat Allah, doaku dimakbulkan..Kau MAHA Pemurah Ya Allah..
Semasa melahirkan kedua puteriku, aku ambil masa yg agak sekejap tapi ini agak lama mungkin kerana mereka mengikat salur ovariku.
Aku diusung keluar dari OT tepat pukul 10.15 bila suami,kakak dan abang iparku menunggu aku. Aku dibawa ketempat pemanasan sebelum itu kerana suhu bilek OT yg terlalu dingin sedangkan aku cuma dibaluti sekeping nipis kain kapas hijau. Suamiku dan kakakku pulang meninggalkan aku yg dijaga oleh jururawat. Aku tertidur.

Tepat pukul 3am aku terjaga dan merasakan sakit yg teramat sangat di ari2ku.Aduh..sahlah ubat bius dah habis.Sakitnya hanya Allah yg tahu hinggakan berpeluh aku dalam bileh hawa dingin dan jantung ku berdegup kencang. Ramai beranggapan sakit bersalin secara pembedahan tidak sakit, kerana kita dibius..memanglah tidak sakit waktu pembedahan berlansung..namun selepas pembedahan..sakitnya berpuluh kali ganda dari sakit bersalin normal..maklumlah, daging segar dan sihat,ditoreh besar seluas lapan inci. Gagahkan diri, tekan loceng, terburu2 nurse datang.
“Sakit ye Puan, biasalah nanti saya suntik ubat tahan sakit lagi”
Cepatlah nurse..sakit tak tertahan. Dalam 15 minit menahan sakit aku terlena bahana ubat pelali tu.
Pagi 6am aku dikejutkan utk ambil suhu dan cek tekanan darah. Marah rasanya bila tidur diganggu. Sakitku datang semula.Aku minta ubat pelali tapi nurse tu kata, aku baru ambil 3 jam yg lalu, aku dibenarkan ambil setiap 6 jam.Aduh mak, ada lagi 3 jam aku terpaksa bertarung dgn kesakitan.Geramnya.
Pukul 8am, dua org nurse datang memberus gigi, mengelap muka dan badan dgn tuala panas dan mengantikan tuala wanita, lepas tu tidur lagi. Perut mula lapar tapi aku masih disuruh berpuasa.
Aku call nurse minta bawakan anakku untuk disusukan,aku buka bedungannya dan ku tilik satu2 setiap inci tubuh anakku untuk ku kenali, ku ambil gambar anakku yg pertama,alangkah tenangnya anakku tidur. Memang betul macam muka aku. Allahhuakbar..anak lelakiku!!Aku jeling kad tahniah warna biru dari pihak hospital. Congratulation, I’m a boy..kata2 dari kad yg bertulis peribadi anakku.Berat 3.7kg..panjang 54cm, mashaallah patutlah sakitnya aku masa dia masih dalam rahimku..walaupun baru 37 minggu tapi beratnya mcam baby 40 minggu. Kus semangat anakku. Hatiku sedikit sedih bila dikad tertulis anakku G6PD deficency. Aku pasrah, maknanya enzim darah dalam tubuh anakku ada kekurangan.Aku tanya pada nurse, dia berkata anakku jika ke klinik dimasa hadapan perlu membawa senarai ubat alahan, anak aku jangan didekatkan dgn ubat gegat dan kacang parang. Jika aku lalai boleh meragut nyawa anakku, aku diminta berhati2.Sebak hatiku..Ya Allah inilah dugaan pertama untuk anak kesayanganku atau ini dugaan utk ku.
Pukul 12pm pelawat pertama datang, kawan ku Wan yg juga sedang sarat dan dah book OT pada 20 hb Ogos nih, lagi dua minggu. Aku bersembang lagi..walaupun mengantuk.
Aku bersembang sampai pukul 4pm suami sampai.Anakku dah dua kali dibawa utk menetek, walau sakit aku gagahkan menyusunya.dan aku ambil gambar pertamanya bersama Papa. Hatiku sayu semula bila lagi sekali aku melihat suamiku pulang .Setelah pulang aku panggil nurse, aku minta tolong bukakan tiub yg bersambung disalur kecing, aku nak bangun cepat supaya darah mengalir cepat dan aku cepat sihat, serta cepat pulang kepangkuan puteri2ku.
Dr Intan datang lagi, dan tiub yg merimaskan aku dibuka, Dr Intan terkejut dgn keberanian aku bangun cepat walaupun belum 12 jam.
Allah..sakitnya Allah saja yg tahu tapi aku berjaya..perut sangat lapar tapi aku cuma dibenarkan minum segelas milo panas saja.Adus..esok baru boleh makan soft diet..aku berpuasa dari tengahari semalam.

Pagi minum milo lagi, dah boleh merayau ke nurseri tenguk baby, walau sakit masih mencengkam, talipon emak, beritahu semua OK dan tak perlu melawat, sebab masih bimbangkan Sarah. Lega dengar semua anak2 tak meragam.
Suami datang pagi dan confirmkan nama putera. Muhammad Zubair, nama bermakna, gagah cerdik dan cemerlang, pilihan Papanya dgn doa semoga anak ini mencontohi peribadi Zubair Al Awwam antara 10 sahabat Rasullah yg dijanjikan surga..amin!
Susukan Zubair, entah kenapa cukup susah nak tidur, mungkin asyik ingatkan anak2 yg dirumah.Cadangan asal nak berehat dihospital, menjadi rindu mendalam.
Laparnya hanya Allah yg Tahu,, pukul 12pm Dr Intan umumkan boleh makan porridge, apalagi..makanlah.beginilah rasanya manusia yg kebuluran di Afrika sana. Ke nursery jenguk anak lagi..bosan sangat, TV tak menarik minat, menyesal pulak minta single room..kalau minta double kan ke boleh sembang.

No comments:

Post a Comment