Wednesday, July 14, 2010
Kenangan 2004 melahirkan Zubair
Teringat masa lepas keluar hospital swasta di Seremban lepas melahirkan putera dulu.Akhirnya minta juga keluar walaupun masih nampak sedikit kuning, kata doktor pakar tu, jika bayi biasa mungkin tidak mengapa tapi Zubair anak G6PD,keadaan mungkin agak bahaya.
Tengahari bersalaman dengan staff hospital yang ramah tamah.Kita menjenguk cashier hospital memberitahu keputusan kita untuk discharge hari ini, sambil itu mengintai bil hospital selama 6 malam di sana.Mak oii...RM 9,989.00 lagi RM11.00 je nak mencecah RM10,00.00. Hai anak..masa melahirkan Melissa 12 tahun lalu di hospital terkenal di PJ cuma RM2,000 , tahun 2001 di hospital ini melahirkan Mashitah RM 4,000 dan 2002 untuk Sarah billnya cuma RM 5,600.00. Dua tahun dah berlalu, tak sangka bil nya melambung dua kali ganda. Akhirnya suami datang seorang, bawa pulang anak, walaupun luka masih berbalut namun gagahkan juga mengendong anak kesayangan..3.7kg bukan calang-calang untuk ibu yang masih lemah.Ibu di rumah bersama anak-anak dan bibik pula sebuk melayan mereka, tentunya tak dapat datang bersama,lagipun kita melarang mereka datang, biarlah menjaga anak-anak di rumah saja.
Sampai Lukut,suami berhenti masjid untuk solat Zuhur, kita disuruh menunggu di tepi kakilima masjid yang berbumbung hijau, sejuk, redup,berangin dan damai, hingga anak tidak berkuit sangat lena.Selesai solat, suami datang dan mengambil putera diribaan,berlalu ke pintu masjid bersama Maulana agak tua yang berjanggut putih panjang,bersih benar airmukanya.Beliau datang dari China, sudah 3 minggu berada di Malaysia, tidak tahu berbahasa Inggeris cuma ada seorang jurubahasa Cina Muslim tempatan menterjemah apa yang dikatakannya. Maulana Moosa mencium dahi putera sambil berdoa dan menghembus perlahan ubun-ubun putera diribaan bapanya.Semoga jadi pendakwah yang disegani katanya sambil senyum.Mudah-mudahan makbul doa orang alim ini.
Sampai sahaja menjejak kaki ke pagar rumah, bibik datang menyambut bayi dan kedua anak masih kecil berlarian memeluk sambil mulut riuh bertanya.."kenapa Mama lambat balik".Airmata rindu kita berhamburan mencium anak bertubi-tubi, tidak puas.Anak sulung mencium tangan dan kemudiannya kesemua mengerumun adik baru.Lega jiwa sudah sampai kerumah, putera masih nyenyak tidur.
Esoknya nurse kerajaan datang melawat, dan memeriksa anak dan melihat luka bekas bedah.Alhamdulillah lukanya beransur kering dan bersih tiada jangkitan kuman tetapi dia menasihatkan anak kita di bawa ke hospital pesakit luar kerana matanya agak kuning dan anak kita G6PD.Inilah yang paling kita elakkan, namun kerana kita tak pernah mengalami anak G6PD, dengan berat hati bersetuju untuk pergi esok hari.Kemudian hari Sabtu, setelah semalaman duduk dirumah, kita membawa anak bertemu doktor kerajaan.Walau badan masih sangat lemah, kita bertatih ke hospital,tanpa suami, pergi dengan abang ipar.Malas menyusahkan suami kerana dia paling tidak suka jika ke hospital kerajaan, entah kenapa.
Ahirnya doktor mendesak anak kita dimasukan ke wad kanak-kanak.Masyaallah, hanya Tuhan saja yang tahu betapa susahnya hati saat itu.Belum lagi hilang rindu pada anak-anak, kini kena kehospital , hospital kerajaan pulak tu.Sejak kita lahir, membesar,belum pernah ke hospital, bila lepas graduan umur awal 20an, kita berkerja dengan syarikat minyak ini, barulah ada pengalaman ke hospital, itupun hospital swasta. Tidak pernah termimpikan hendak ke hospital kerajaan.Takut dengan berbagai cerita-cerita dalam surat khabar dan cerita-cerita orang tentang hospital kerajaan,terutama layanan yang kurang mesra.Namun abang ipar menasihati supaya menuruti kata-kata doktor kerana mereka lebih arif.Cadangnya hendak ke hospital swasta semula, tetapi mengingatkan jarak yang jauh ke Seremban, dan baru dua hari keluar hospital swasta, malu pulak ditempelak doktor di sana sebab kita engkar arahan dia kelmarin,dari terus menahan anak di wad bayi.Nampak gayanya tiada pilihan, mungkin banyak hikmahnya yang kita tidak nampak ataupun mungkin Allah SWT hendak memberi kita pengalaman bagaimana rasanya duduk di hospital kerajaan yang selama ini amat kita jauhi.
Balik kerumah semula dan beg pakaian dari hospital swasta belum berkemas lagi, kita bungkus semula dan lagi sekali hati macam nak luruh melihat anak-anak berdua mula tercengang."Mama nak kemana lagi?" soal si kecil penambat hati. "Baby dah doktor potong dari perut mama, kenapa Mama kena pergi lagi ?"yang besar makin bijak berfikir. Memang anak ini setiap pertanyaannya sangat bernas berbanding usianya.Dia pernah bertanya, "Allah tu ada tangan macam kita ke Mama?"...Akhirnya dalam teriak tangis, pergi juga walau hati ini retak seribu demi keselamatan putera tunggal, kehibaan meninggalkan anak terpaksa dilakukan.
Sampai hospital, kita ditempatkan di wad bayi, wad terbuka. Bertanyakan pegawai di situ, bolehkan minta wad kelas satu. "Puan..tak boleh sebab bukan puan yang sakit, tapi bayi..untuk bayi tiada kelas satu, kecualilah jika dulu puan bersalin di sini, dapatlah kelas 1".Eh kita diam sajalah, memang pelik-pelik hospital kerajaan ini, apa boleh buat,diam sajalah. Kita ditempatkan dikatil lipat yang kecil dan keras,tidak sesuai dengan badan dalam pantang ini,berbeza dengan katil mewah kita dulu,panas berbahang berbanding bilik hawa dingin di hospital swasta, bersama dua ibu yang dah sedia ada disitu, tandas dan bilek air berkongsi, tiada kabinet besar tempat letak pakaian, tiada kerusi merehatkan badan, tiada kerusi tetamu.Ya Allah, semuanya serba kekurangan,dan bayi diletakkan dalam kot.Panasnya dalam hospital ni Allah saja yang tahu, walaupun ada kipas tapi wad ini terlindung oleh bangunan depan ,tiada angin keluar masuk,macammana orang sakit nak sembuh, udara bersih tak ada, rasa macam dalam penjara.
Rasa nak lari balik je,tapi sapa pulak nak jaga bayi nih,sini bukan hospital swasta,dan anak ini pulak menyusu badan, botol susu pun tak dibenarkan bawa masuk, apatah lagi susu tin.Ya Allah..mungkin aku selalu memandang rendah pada hospital kerajaan, kini Allah uji supaya dapat merasakan bagaimana keadaan mereka-mereka yang kurang mampu, berpendapatan rendah terpaksa memilih hospital kerajaan.Sakit hati dengan keadaan hospital kerajaan, tapi kenapalah nak membandingkan dengan hospital swasta.Akhirnya beristighfar banyak-banyak, ini dugaan Allah menguji kesabaran kita yang selama ini lupa bersyukur dengan kemewahan yang melimpah ruah.Menguji kita yang selama ini sombong dengan hospital kerajaan yang telah banyak memberikan jasa.Memberi kita pengalaman bagaimana rasanya orang-orang kurang mampu.
Kakitangan hospital pun pelik, atau mungkinkan memperli,bertanyakan kita mengapa tak mahu ke hospital swasta semula, kita menjawab malas..jauh dari rumah dan malas nak ulang alik.Tamat cerita, kalau diceritakan pun buat sakit hati aje..tahan dan sabarlah dugaan sebegini. lebih afdal berdiam diri dari bersungut tak sudah-sudah.
Malam pertama dihospital, memanglah tak dapat tidur, panas semacam sampai baju boleh diperah basah oleh peluh.Jamu bersalin yang kita makan menambah haba dibadan dan kita memberhentikan pengambilannya.Air terpaksa diminum banyak, jika tidak... boleh dehydrated.Zubair asyik menangis begitu juga bayi-bayi lain,panas rimas dengan lampu yang tambah memanaskan suasana.Kalau dihospital swasta kita cuma tahu tidur dan rehatkan badan, segala urusan anak kita dibuat oleh nurse.Di sini nurse buat kerja dia, kadang-kadang bersembang berdekah-dekah ketawa, lansung tak hairankan bayi-bayi yang menangis,satu pekara yang amat biasa pada mereka.Namun kita tak lah seteruk ibu muda yang duduk disebelah katil.Jaundice anaknya agak kuat, namun menurut doktor jaundice ini tiada ubat, cuma biarkan anak menyusu badan sebanyak-banyaknya, bila dia mengeluarkan najis, akan berkuranglah kuningnya,lagi kerap menyusu,lagi baik.Ibu muda ini kering susunya, mungkin kerana anak pertama dan dia tiada pengalaman, anaknya menangis sepanjang malam non-stop sampai serak suaranya. Nurse cuma lalu pandang sahaja, mungkin situasi biasa pada mereka.Kita nih sebagai ibu, kesian melihat anak dan ibu ini, jadi bila Zubair terlena di kotnya kita jenguk anak kecil tadi."Dik you tidurlah kejap, biar akak dodoi anak you", ibu ini angguk, bawah matanya dah hitam bekas kurang tidur.Dia melunjurkan badan, melepas lenguh dari awal malam tadi mendukung anak yang asyik menangis,baru 3 hari bersalin berbanding kita yang dan seminggu.Lukanya masih nyeri sebab dia masih belum boleh duduk betul..bisa jahitan katanya. Mungkin kerana tangan kita yang sudah berpengalaman banyak berbanding ibunya, bayi yang letih menangis sedari pukul 9pm tu, terlena dalam dakapan kita sekitar tiga pagi..perlahan kita letak di kotnya dan kembali tidur. Aman wad tu sekejap tanpa tangisnya, namun mengkin desakan perut kosongnya, dia bangun semula dan mula menangis kembali.Kita tidak dapat menolong lagi kerana anak kita pun dah bangun mahu menyusu.Sekurang-kurangnya ibu ini dapat berehat selama sejam.Paginya anak ini terpaksa diberi ubat penenang dan dimasukan air, kerana doktor bimbang dia dihydrated.Kesian melihat jejari kecilnya dicucuk jarum dan tiub air, namun kini bayi dan ibu boleh berehat.Bayi itu lena kerana diberi ubat penenang yang mild.
Tiga malam kita menunggu Zubair di hospital, cukuplah dugaan yang dilalui, berkat doa bapa dan neneknya akhirnya kami keluar dari hospital selepas kita mempelajari bahawa hospital kerajaan bukanlah seteruk yang disangka, namun jika boleh kita tak mahu lagi menjejak kaki ke hospital kerajaan.Biarlah berhabisan wang dihospital swasta, kerana duit boleh dicari tetapi layanan sambil lewa hospital kerajaan membuat hati serik untuk ke sana.Bersyukurlah kepada Allah atas apa yang dikurniakan kepada kita sekarang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment