Wednesday, July 28, 2010

khas untuk ibuku sayang


Tiada manusia yang dapat menandinginya didunia ini dalam mengasihiku.
Tiada yang dapat menyayangiku seperti dia. Tempatnya teratas dalam hatiku.
Sedihku dukanya, tawaku hiburan baginya.Aku ditatang bagai minyak yang penuh.
Kasihnya padaku tiada dua.
Emak sedari aku kecil kurang bersama kerana dia sibuk bekerja menoreh getah
menemani ayah, selalunya kita tinggal dengan kakak-kakak.
Setelah berusia 12 tahun kita mendapat tawaran ke sekolah berasrama di Ipoh.
Maka makin jauhlah kita dengan emak.Namun emak tetap emak, setiap bulan
emak akan datang naik bas dari Tronoh, ke Ipoh bersaorangan walaupun
seumur hidupnya dia tak pernah naik bas seorang sebegitu jauh tanpa ditemani
ayah namun kerana anak seorang ini, dia hilangkan rasa takut, melangkah gagah
semata-mata untuk berjumpa anaknya.

Selalunya emak datang hari Ahad,berhenti lebih kurang 1KM dari asrama
kerana bas tak sampai depan asrama.Emak berjalan kaki menyusur perumahan
Cina yang penuh dengan anjing, selalu emak disalaknya, hilang rasa gerun
kerana mahu bertemu anak.Emak selalu membawa bakul hijau kecil yang
disi meehoon goreng,cekodok pisang,buah jambu,agar-agar dan
kacang putih yang dimasak sendiri olehnya.
Semua makanan kegemaran anaknya disediakan dengan penuh rasa
kasih sayang, dia akan datang ke asrama selalunya dalam pukul 10pagi.
Kami akan makan bersama dan berbual,terubat rindu kepada emak.
Emak melangkah setelah selesai zohor,setelah berpesan supaya belajar
rajin-rajin,jaga diri dan membekalkan RM10 yang sangat besar nilainya
bagi keluarga kami disekitar awal tahun 80an.Sebak dada melihat kaki suci
ibu melangkah meninggalkan diri yang melambai semakin jauh.
Kini emak tinggal bersama di PD, dulu tak puas melihat wajah emak,
kini setiap hari dengar leternya,moodynya dan berbagai lagi.Kadang-kadang
tanpa sedar terkeluar dari mulut kata-kata yang mungkin menyentuh hati tua
lidahku melukai jiwa murnimu..namun kasihku sangat dalam buatmu ibu.
Pengorbananmu tidak dapatku balas walau segunung emas kutaburkan.
Entri ini khas ditujukan buat ibu dan untuk mereka yang bergelar ibu

No comments:

Post a Comment